Monday, December 19, 2011

[Blog ADUN Bangi] Aura Ustaz Azhar: Golongan Muda Ke Ceramahnya Berjejar

Aura Ustaz Azhar: Golongan Muda Ke Ceramahnya Berjejar

http://drshafie.blogspot.com/2011/12/aura-ustaz-azhar-golongan-muda-ke.html

Masjid Hasanah, BBB, 21 Muharram = 17 Disember (Sabtu):

Petang ini Adun sekeluarga – isteri & anak menantu bersama saudara Azizi bertolak dari rumah ke masjid Al-Hasanah dalam jangkaan waktu boleh tiba sebelum maghrib, tetapi tiba ke trafik light di hadapan Pejabat Daerah tersekat, kerana kenderaan bersesak-sesak yang hampir ke semua menuju ke masjid. Adun tiba sedikit lewat dan terpaksa berjamaah Maghrib berasingan. Semua ruang masjid penuh, bahkan jamaah melempah-ruah keluar. Apabila selesai, Adun berusaha ke hadapan, walaupun begitu sukar, kerana sebagai Penganjur Ceramah melalui Lajnah Masjid-Surau Adun, sewajarnya Adun bersama menyambut Ustaz Azhar Idrus yang beliau juga terkandas dan ketibaannya hampir bersamaan dengan Adun. Walau bagaimana Adun dapat tiba ke hadapan sebelum sedikit dari ceramah dimulakan.

Ceramah dianjur Pejabat Adun dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah dan Persatuan Penduduk BBB ini, disifatkan oleh Ustaz Azhar dalam ceramahnya antara teramai yang pernah menghadiri ceramahnya dan mereka kebanyakannya adalah golongan muda. Jumlah kehadiran melebihi 10 ribu orang.

Adun duduk berdepan dengan Ustaz Azhar – beliau di atas kerusi bermeja, sambil mengikuti ceramahnya, sambil memerhati keistimewaannya yang dengan auranya sebagai magnet menarik hadirin. Untuk mengatakan beliau berceramah, tetapi tidak sepenuhnya ceramah, kerana beliau juga bersifat mengajar. Beliau sebenarnya menggunakan kitab berjudul `Anak Kunci Syurga` secara syarah, bahkan hasyiah berasaskan ayat-ayat dibaca di dalam kitab, sebagai sambungan dari yang dibacanya di tempat lain sebelum ke Masjid Al-Hasanah. Pengajarannya adalah berhubung dengan aqidah, iaitu berkenaan dengan `Konsep Rububiyyah` yang bermaksud Allah Maha Esa jua yang mencipta. Mengatakan yang lain berkuasa mencipta boleh membawa kepada syirik, manakala `Tauhid Uluhiyyah` diberi huraian oleh penceramah, ``Segala ibadat yang disuruh Allah, kita lakukan kerana Allah, contohnya solat. Di dalam huraian beliau membawa dalil-dalil daripada ayat Qur`an dan beliau mengaitkan juga dengan aspek-aspek ibadat, hukum syara`, berkenaan solat dan kemuliaan bahasa Arab, iaitu kerana bahasa Al-Qur`an, bahasa syurga dan kerana Rasulullah adalah orang Arab.

Dari pemerhatian Adun, kandungan pengajaran yang disampaikan adalah soal aqidah dan hukum hakam biasa, tetapi keistimewaan ustaz Azhar dia menyampaikan pengajaran dengan terang dan lebih istimewanya beliau dapat menyelitkan di dalam pengajarannya unsur-unsur humor secara spontan yang mencuit pendengar-pendengar dan secara spontan juga pecah ketawa pendengar berderai. Contoh bila beliau menyebut tentang Hukum Syara` yang lima, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Menurutnya `Taklif hanya kepada manusia yang berakal, binatang, walaupun besar tidak wajib. Contoh singa tidak ditaklif, kerana tidak berakal, walaupun besar. Tetapi singa berzikir kepada Allah. Beliau sebenarnya menggunakan unsur lakonan bila berlagak sebagai singa dan menyebut ngaumannya sebagai sama dengan sebutan nama Allah. Dengan penggunaan unsur humour dan penggunaan elemen lakonan, menyebabkan penerangan hidup dan sebutan tentang ngauman humour menyebabkan pendengar ketawa berderai.

Contoh lagi selepas pengajaran berhenti sekejap, kerana menghormati azan, beliau menyambung pengajaran berhubung dengan `Syaitan`. Menurutnya syaitan makhluk yang ada. Beliau mengaitkan dengan jin. Beliau membuat gurauan semasa sembahyang berseorangan dalam masjid di waktu malam, bagai ada yang mengikuti. Secara gurauan dan guna elemen memek muka yang mencerminkan ketakutan yang menyebabkan pendengar gelak ketawa. Beliau juga menyebut tentang orang kampung paling takut dengan harimau. Jika berjalan di hutan dilarang menyebut harimau, kalau tersebut oleh anak-anak yang mengikuti, lekas-lekas diisyratkan telunjuk ke mulut, memaknakan suruh berhenti bercakap. Beliau menunjukkan dengan isyarat dan memek muka dan menggunakan telunjuk.

Pada akhir pengajarannya (dari selepas Maghrib hingga jam 9.00 malam) beliau memperuntukkan masa satu jam untuk menjawab soalan-soalan. Sebelumnya beliau juga melancarkan kutipan-kutipan. Soalan-soalan dihantar secara bertulis dan sampai dalam masa mengajar. Terdapat berpuluh-puluh soalan yang sampai, tetapi yang sempat dibaca kepada pendengar dan dijawab hanya lebih kurang 10 soalan sahaja (bakinya menurutnya akan dijawab di tempat lain). Cara beliau menjawab juga dihiasi dengan unsur-unsur humour yang menyebabkan pendengar-pendengar ketawa tidak kering gusi. Misalnya bila menjawab soalan adakah perempuan bermadu mendapat payung mas disyurga, tentang orang dipaksa berzina secara kekerasan dan soalan (terakhir), bagaimana ma`mum harus bertindak, apabila didapati imam bersolat subuh melebihi dua rakaat dan komen beliau mengapa, soalan-soalan didominasi persoalan berkahwin dan yang berkait dengan lelaki dan perempuan yang dijawab juga dengan berbagai unsur humour. Adun dapati gaya ceramah atau kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus ini ada semacam kesamaan dengan cara yang disampaikan oleh Dato` Ismail Kamus yang gaya pengajarannya diselit dengan unsur humor.

Hasil penelitian

Ceramah dan pengajaran Ustaz Azhar Idrus menjadi daya tarikan, walaupun perkara biasa, oleh kerana beliau dapat menyelit dan menghias huraian dengan unsur-unsur humour. Kadang-kadang beliau menggunakan memek muka dan unsur lakonan bagi mengexpresikan maksud yang mau disampaikan.

Beliau seorang yang kuat mutalaah, terutama kitab-kitab agama, khususnya aqidah dan fiqh, sebab itu beliau dapat menerang dan memberi contoh dan istinbat dengan ayat Qur`an dan Hadith dengan lancar.

Beliau berani menjawab soalan-soalan mengenai hukum dengan segera. Walau macam mana jawapan soal-soal hukum boleh membawa seseorang terjatuh kepada kontroversi dan kalau silap boleh meruntuhkan kredebiliti.

Populariti Ustaz Azhar Idrus, terutamanya di kalangan golongan muda, antaranya kerana mampu menggunakan media baru yang memang terkenal di kalangan generasi baru seperti internet Yu-Tube, face book dan sebagainya. Penggunaan kaset dan CD juga digunakan sebagai media penyebaran pengajarannya yang banyak diikuti terutama oleh golongan muda.

Ustaz Azhar mempunyai identitinya tersendiri, bersifat humor dan kadang-kadang cynical dan mempunyai khalayaknya tersendiri dari golongan muda dan golongan pertengahan – Di Bangi yang hadir ramai pelajar-pelajar pengajian tinggi. Berlainan dengan pendekatan ``Berat & philosophical`` yang juga mempunyai khalayak tersendiri, Contoh Dr. Zulkifli Al-Bakri yang lembut dan warak terpengaruh dengan Hikam yang dikajinya dan dari kalamnya yang mendalam kadang-kadang terluah juga hikam.

Ceramah beliau tamat jam 10.00 malam diikuti dengan solat isyak dua kali, kerana ramai dan kekurangan ruang. Pihak Nazir Tuan Haji Nafiah bertanyakan Tuan Setiausaha masjid Tuan Haji Kamaruddin tentang jumlah yang dipungut. Menurut Tuan Haji Kamaruddin, ``Ada sebahagian lagi belum dikira.` Tetapi menurut Tuan Haji Nafiah, ``Untuk ketelusan wajar diumumkan agar penderma dapat tahu.`` Maka derma yang dipungut diumumkan ialah RM47,000 (Maklumat mutakhir ialah RM48,200/=). (Penyaluran dan pengagihan derma ini akan dibincangkan).

Adun berkesempatan bercakap-cakap dengan Ustaz Azhar semasa makan bersamanya sebelum beliau dan pengiring-pengiringnya memohon diri.

Sekian.

========================
Khai
khair75@gmail.com
========================

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More