Bandar Seri Putra, 3 September 2010.
Secara rasminya acara penutup Ramadan 1431H di surau Al-Hijrah telah berlangsung malam tadi. Majlis yang bermula seawal 6 petang dimulai dengan majlis khatam Al-Quran dan bacaan Al-Mathurat yang diketuai oleh Ustaz Nik Hilmizan. Bagaimanapun solat terawikh dan witir masih terus dijalankan sehingga akhir Ramadan yang dijangkakan akan berakhir sama ada Rabu atau Khamis mendatang. Ini sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal yang menandakan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut oleh umat Islam seluruh Malaysia.
Majlis berbuka puasa seterusnya juga meriah dengan sumbangan hidangan berbuka puasa oleh katerer rasmi surau, saudara Mazni. Jemaah dihidangkan dengan jamuan nasi ambang yang asalnya diperkenalkan oleh etnik Jawa. Jemaah dihidangkan dalam dulang sebagai salah satu cara mempereratkan ukuwah ikatan silaturrahim antara ahli karyah. Manakala, pembasah tekak, saudara Mazni telah menyediakan air mata kucing. Menurut beliau tidak susah mendapatkan sumber air mata kucing. Ianya boleh diperolehi daripada kedai-kedai herba cina sekitar Bangi. Katanya lagi yang tidak lokek berkongsi resepi, tidak susah menyediakan air mata kucing yang menjadi idaman ahli karyah surau Al-Hijrah ini. Kalau hendak buat sendiri pun boleh, katanya lagi sambil tersenyum dalam keletihan berpuasa.
Penulis sempat juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada saudara Mazni yang telah bermurah hati menyumbang bubur lambuk yang diedarkan secara percuma di surau setiap hari bekerja. Manakan tidak ucapan tersebut diucapkan, anak-anak penulis sendiri menjadikan hidangan berbuka dan juga bersahur yang kadangkala nasi yang dimasak tidak diusik kerana kurang selera. Tetapi bubur lambuk tampak menyelerakan bagi mereka terutama waktu bersahur. Juga anak penulis yang tidak berpuasa menjadikan bubur lambung tersebut sebagai sarapan pagi. Disamping itu, pelbagai cara menikmatinya juga telah dikongsi oleh ahli karyah lain seperti menambah sambal atau sup kepada bubur tersebut untuk menambah citara sendiri.
Majlis diteruskan dengan penghargaan kepada imam muda yang mengimamkan jemaah sepanjang bulan Ramadan, Ustaz Malek dan Ustaz Tholhah. Ia juga sebagai penanda akhirnya tugas mereka untuk Ramadan ini kerana mereka akan bertolak ke kampung halaman masing-masing pada lewat malamnya. Bagi pihak surau A-Hijrah, setinggi-tinggi penghargaan kepada ustaz berdua.
Tidak lupa juga ahli jemaah menunaikan zakar fitrah di surau kepada amil kita Ustaz Nik Himizan sendiri. Menurut Ustaz Nik, beliau pun agak terlewat dibekalkan dengan resit zakat tersebut dan hanya sempat memungutnya dalam masa yang singkat.
Penutup majlis adalah dengan hidangan moreh dari katerer yang sama selesai solat terawikh dan witir. Kali ini ahli karyah di hidangkan dengan pulut kuning bersama kari ayam dan juga serunding. Ini sinonim dengan mana-mana majlis khatam Al-Quran di Malaysia. Ianya menarik minat ahli karyah disamping air mata kucing dan teh 'o' yang sedia tersedia sedari waktu berbuka puasa lagi.
Album gambar keseluruhan di sini: http://www.facebook.com/album.php?aid=484981&id=329327610175&ref=mf
Bagi pihak surau Al-Hijrah, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan meninggalkan Ramadan. Semoga kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadan tahun-tahun mendatang.
-Khai@BSP-
0 comments:
Post a Comment